ETP


Taman Tema Bahasa Inggeris



Kuala Berang: Pelajar dari 63 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Hulu Terengganu berpeluang mempelajari bahasa Inggeris melalui cara yang menyeronokkan dengan pelancaran Taman Tema Bahasa Inggeris atau English Theme Park (ETP) di Pusat Kegiatan Guru (PKG), Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Berang, di sini, baru-baru ini.
Projek ETP Kuala Berang yang dijalankan Subsidiari ExxonMobil di Malaysia dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu ialah yang ketiga ditubuhkan di negeri berkenaan bagi meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah di negeri itu.
Majlis perasmian ETP Kuala Berang yang membabitkan kos sebanyak RM347 000 itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu, Encik Mohd Zawawi Ismail.
Turut hadir, Pengerusi Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Encik J Hunter Farris dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin.
ETP yang mula ditubuhkan pada 2003 bertujuan untuk menyediakan peluang pembelajaran bahasa Inggeris melalui cara yang menarik dan menyeronokkan sekaligus merangsang pelajar untuk memperbaiki penguasaan mereka dalam bahasa berkenaan.
Bagi menarik minat pelajar sekolah rendah dan menengah untuk lebih seronok mempelajari bahasa Inggeris, pelbagai sudut menarik disediakan di ETP Kuala Berang bagi memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat mengenai Bahasa Inggeris, memperbanyakkan perbendaharaan kata serta melatih diri bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa itu.
Sudut menarik
Antara sudut menarik yang terdapat di ETP Kuala Berang ialah School Acsess Learning (SAL) dan perpustakaan, internet dan audio, sudut teater mini, sudut bercerita, tujuh daerah di Terengganu, permainan tradisional, kolam interaktif, Kuala Berang Bistro serta permainan ular dan tangga.
Pelajar yang berkunjung ke ETP akan dibimbing oleh fasilitator berpengalaman supaya mereka dapat menggunakan sebaik mungkin kemudahan yang ada. Setakat ini, seramai 18 fasilitator dipilih untuk membantu menjayakan program ETP di Kuala Berang.
Guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas, Ajil, Terengganu, Puan Hairusasmijuliana Sohaimi yang juga fasilitator ETP Kuala Berang berkata, projek berkenaan banyak memberi peluang kepada pelajar luar bandar untuk mempelajari bahasa Inggeris sekaligus meningkatkan penguasaan dan komunikasi dalam bahasa berkenaan.
"Melalui sudut internet dan audio yang disediakan di ETP Kuala Berang ini pula, pelajar boleh menggunakan kemudahan internet untuk mendapatkan maklumat mengenai projek atau tugasan yang diberikan guru berkaitan bahasa Inggeris.
Kemudahan komputer "Seperti yang kita tahu, pelajar luar bandar jarang mendapat peluang untuk menggunakan kemudahan komputer dan internet kerana tidak semua mampu memilikinya. Oleh itu, melalui kemudahan ini, mereka boleh mempelajari komputer dan menggunakan internet sebaik mungkin untuk membantu proses pembelajaran," katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang, Munirah Ahmad pula berkata, ETP yang ditubuhkan di Kuala Berang memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan lebih banyak maklumat melalui buku yang disediakan di sudut perpustakaan.
"Lokasi ETP ini juga terletak tidak jauh dengan sekolah saya sekali gus memudahkan kami untuk berkunjung bagi menggunakan kemudahan yang disediakan.
"Saya berharap dengan adanya ETP ini, penguasaan bahasa Inggeris terutama membabitkan masalah tatabahasa dapat diperbaiki," katanya.
Mahir menguasai
Sementara itu, J Hunter berkata, ExxonMobil sangat berbesar hati apabila dapat memberikan sokongan kepada program pembangunan modal insan di Malaysia melalui penubuhan ETP supaya generasi muda lebih mahir dalam menguasai bahasa Inggeris.
"Kami berharap sokongan terhadap program pembangunan ini dapat meningkatkan lagi penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah di Terengganu.
"Pelbagai kemudahan dan sudut yang disediakan di ETP sememangnya di reka khusus untuk memastikan bahasa Inggeris diajar dalam cara yang lebih menarik dan menyeronokkan," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian ETP ketiga di Kuala Berang.
ETP yang pertama di lancarkan di Terengganu bertempat di PKG SK Kemasik membabitkan kos sebanyak RM192,000 manakala ETP kedua pula dibina di SK Tok Jiring yang bernilai RM350,000.

Penulis

Oleh Nor azma Laila